Friday, 18 October 2013

Nia dan Damia Uzma



Anakku Damia Uzma kini dah semakin besar. Dah berusia 8 tahun. Hubunganku dengannya masih rapat. Aku sekali-kali tak akan mengabaikan tali hubunganku dengan anak sendiri biarpun dia duduk jauh daripadaku (dengan uminya) dan aku kini telahpun mempunyai seorang lagi anak perempuan bernama Sarah Nur Addeena.

Nia isteriku begitulah. Dia baik dan rapat dengan anakku. Pun begitu aku tetap dapat merasakan kekok beliau bila melayani Damia berbanding dengan Sarah. Faktor anak tiri pun satu hal juga. Namun yang aku fikir paling logik ialah kerana paras rupa Damia yang mirip uminya (ex aku). Nia cukup sedih dan marah bila dia tahu apa yang terjadi terhadapku. Aku fikir sampai sekarang dia bencikan ex aku walaupun aku juga mengaku aku ada buat salah juga.

Jadi bila dia memandang ke wajah Damia, mungkin juga sedikit sebanyak emosinya tercuit. Tapi janganlah anggap Nia macam ibu tiri dalam cerita Bawang Putih Bawang Goreng. Nia tetap melayan Damia dengan baik dan menguruskan anakku itu dengan baik bila Damia ada bersama kami.

Cuma aku agak bimbang kerana Damia nampaknya berasa terkesan dengan sikap kekok isteriku itu. Aku bimbang kalau-kalau Damia salah sangka pula yang ibunya (Nia) itu membencinya.

Wednesday, 16 October 2013

Rizalman Ibrahim Icon-Nia ku



Rizalman Ibrahim Icon-Nia ku...

Nia sekarang cukup suka melayari laman web tentang hiasan rumah. Kalau tak banyak kerja kat pejabat, dia pasti akan ‘selak-selak’ Tab dia tu untuk tengok dan saved beberapa model hiasan dalaman rumah. Antara yang dia suka surf ialah deko-deko Rizalman Ibrahim. Aku pun suka juga tengok hiasan yang Rizalman buat berbanding dengan Eric Leong.

Rizalman tu sebenarnya satu batch dengan kakak aku. Tapi dialah yang paling berjaya sekali dalam batch mereka. Malah boleh dikatakan paling berjaya dalam batch art and design UiTM. Gaya hiasan Rizalman memang ikut citarasa yang kami suka. Moden, tak terlalu ikut gaya kebaratan, kemelayuan atau kecinaan (macam Eric Leong).

Tak sangka Rizalman ni pandai buat interior deco selain dari design pakaian artis. Mungkin jiwanya tu memang jiwa seni yang unggul. Kalau ada yang tak suka Rizalman sebab personal, itu korang punya pasal. Tapi dari segi hasil karya dia untuk interior deco, aku tabik Jerman kat dia!

Wednesday, 9 October 2013

Tatkala berbual tentang Wawa Zainal...



Aku fikir kebanyakan wanita dalam Malaysia ini tak berapa suka bercakap tentang hal-hal yang serius dan berat seperti politik, ekonomi dan wajah dalil dalam hadis.

Begitu jugalah dengan isteriku, Nia. Oh, ya! Kami dah kahwin pada... alamak! Aku tak ingat! Mampus! ......... Hah! Nasib baik ingat! 29 April 2011 iaitu sama tarikh dengan perkahwinan si William dan Kate Middleton. Tapi kami dapat anak lebih awal daripada depa! Nyeh-nyeh-nyeh! (ejek la sikit).

Ah! Bercakap pasal topik tadi. Aku dalam usia 40’an ni dah mula la serius mendalami pengetahuan agamaku. Tapi bila nak bersembang hal agama dengan Nia, dia diam aje. Entah dia benar-benar dengar dan memahami apa yang aku cakap atau fikiran dia jauh melayang ke Pasar Kemboja di Parit Buntar!

Akhirnya aku beralah dan bersembang pula pada topik-topik yang dia sukai. Hal yang paling Nia suka ialah tentang gosip artis, tentang cerita-cerita Melayu di televisyen dan hal-hal berkenaan hiasan dalaman rumah. Pun begitu sekali-sekala bila kami berbual aku selitkan juga hal-hal keagamaan seperti masalah hukum-hakam syarak. Nampaknya lebih baik begitu. Oit, suami kena didik isteri dalam agama, tau? Nanti kat mahkamah akhirat kelak, tak la isteri salahkan kita sebab tak didik dia.

Walaupun kami berbual tentang perkara yang dianggap tak berfaedah, namun aku nampak itulah antara cara terbaik yang sentiasa merapatkan dan memesrakan hubungan kami sebagai suami isteri. Bahkan selepas itu kadang-kala kami bertukar ke perbincangan tentang perkara-perkara yang lebih serius. Dan semenjak methodologi ini kugunakan, kami dah hampir enam bulan tak pernah berselisih faham walau hal-hal yang kecik sekalipun. Bagusnya... bagusnya....

Cerita paling hangat yang kami perbualkan sekarang ialah berkenaan Wawa Zainal. Kejap lagi aku nak jengah ke web Bountiful Nara. Haha!



Thursday, 16 September 2010

Aku dan Nia Kali Pertama

Kali pertama aku mengenali Nia ialah pada 1/10/2009. Sahabatku bernama Lan yang perkenalkan kami. Aku agak kurang berminat pada masa itu kerana masih trauma akibat perpisahan. Namun apa yang menarik perhatianku ialah Nia tak seperti mana-mana perempuan lain yang kebanyakannya cenderung kepada kebendaan. Sepanjang pertemuan kami pada kali pertama itu, Nia tak pernah walau sekali bertanya kepadaku kenapa peguam sepertiku ini tidak menukar kereta burukku kepada yang baru. Malah sehingga kini pun tak pernah bertanya sedemikian.

Pada 21/10/2009, aku akhirnya berterus-terang dengan statusku kepada Nia. aku amat menyukai Nia dan aku tak sanggup untuk berbohong kepadanya lagi bahawa pada masa itu aku telahpun berumahtangga dan mempunyai seorang anak. Selepas aku selesai berbicara, memang muka Nia dah macam nak menangis pun ada. Nak lari tingalkan aku pun ada. Mungkin juga dia nak lari, tapi oleh kerana pada hari itu Nia datang dengan keretaku, maka penat pulaklah kalau dia berlari balik ke rumahnya yang sejauh 11 km.

Pun begitu aku sangat bersyukur kerana Nia bersedia untuk terbuka fikiran menerimaku seadanya. Dalam dunia ini ramai perempuan yang aku kenali. Namun tak seorang pun yang mampu menyentuh hatiku seperti Nia. Mungkin pada pertemuan pertama kami aku telahpun jatuh cinta kepadanya. Cuma kecamukan fikiran dan emosiku yang menghalang untuk aku melihatnya.


Nia dan Damia Uzma

Kali pertama Nia bertemu dengan anakku Damia ialah pada 1/1/2010. Best kan? Aku agak bimbang juga kalau-kalau Damia tak dapat menerima Nia. Namun aku berasa sangat lega kerana mereka berdua boleh menjadi begitu akrab sekali. Tak nampak pun bahawa Nia berpura-pura menyayangi anakku.

Agak pening jugalah Nia melayani kerenah Damia yang cukup ligat macam terlebih gula dalam darah. Aku berharap agar Nia semakin menyayangi anakku itu walaupun kami berdua akan mempunyai anak-anak juga kelak.







Thursday, 26 August 2010

Nia menjadi cheerleader

Aku terkandas dalam temuduga Fizikal, Pancaindera dan Kecerdasan. Kecewa jugak rasanya. Nasib baik la aku ada Nia sebagai cheerleader menyokongku. Walaupun nampak tak penting (sebab kami tau dah memang mustahil akan lulus), namun bila Nia menyokongku dan memberikan kata-kata semangat, aku berasa sangat gembira. Beginilah gamaknya perasaan Rocky Balboa sebelum dia menang.

Sebaik sahaja keputusan yang mengecewakan tersebut, Nia terus kembali mendaftarkan permohonanku di internet untuk bidang kerja lain pulak. Bersusah payah dia walaupun perutnya tak sihat sebab senggugut. Aku harap dia menjaga kesihatannya betul-betul sebab aku selalu berasa risau kalau Nia sakit.




Ini adalah kali pertama kami keluar jauh untuk berdating. Bukan jauh sangatpun. Cuma ke Taiping aje. Aku dan Nia berpiknik kat taman rekreasi berdekatan dengan Zoo Taiping. Kami duduk berbual-bual kat pondok yang disediakan sambil makan KFC, snek ringan dan minuman. Piknik memang menyeronokkan! Patut buat selalu!

Saturday, 21 August 2010

Nia dan rumah sewa

Aku menghadapi masalah untuk mencari rumah sewa sekarang. Banyak sangat rumah kosong tapi tak mahu disewakan ataupun dijual. Bodoh betul! Aku luahkan rasa kecewaku itu pada Nia. Ada juga terlepas geram kat dia. Kesian dia jadi mangsa frustasi aku. Sorry, sweetheart.

Tapi Nia tak ambil hati. Sebaliknya dia mengajak kawannya untuk sehari suntuk mencari rumah sewa untukku. Semua taman perumahan yang ada diredahnya. Tapi tak ada hasil. Penat aje dia. Bulan puasa pulak tu. Kesian Nia. Aku nak dia tahu bahawa aku amat menghargai apa yang dibuat olehnya. Dan aku akan balas budi baiknya itu. Cuma buat masa ini aku tak mampu lagi.

Bapanya juga sibuk menolong mencari rumah sewa untukku. Terima kasih, pak cik. Nanti suatu hari saya belanja makan di Restoran Siam Koh Samui kalau ada rezeki.


Di Kellie's Castle. Dah lama kami tak jalan-jalan cari makan.